Saturday, July 29, 2006

Solat 5 waktu - 80% rakyat Malaysia tidak mengerjakannya


Diambil dari Utusan Online:
Oleh ZUARIDA MOHYIN

SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain.

Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud: Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.

Pun begitu, pakar motivasi dan penceramah bebas terkemuka, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, mendedahkan 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari.Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.

"Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga pasar malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa menunaikan solat biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit"

"Malah ada juga yang sanggup membuang masa di pusat membeli-belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert, menonton perlawanan bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama berjam-jam tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek",kata Dr. Fadzilah dengan suara tersekat-sekat menahan sebak pada majlis pelancaran album motivasinya yang berlangsung di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari. Jumlah ini terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini. Lebih menyedihkan, senario yang berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari.

Kekecewaan dan kebimbangan Dr. Fadzilah jelas tergambar apabila beliau tidak dapat membendung air mata dan menangis, membuatkan hadirin tergamam seketika."Biarpun masa yang diperlukan itu pendek, tetapi banyak orang yang ingkar untuk melakukannya kerana tidak menghayati ibadah tersebut, natijah daripada tidak ada latar belakang pembelajaran agama"

"Kewajipan solat sering dipandang remeh atau dianggap tidak ada nilai sensasi untuk diketengahkan kepada umum". "Namun hakikatnya, ia terpaksa disampaikan ke pengetahuan semua kerana saya khuatir umat Islam akan menuju kehancuran apabila umatnya sudah seperti penganut agama lain yang sembahyang mengikut kehendak sendiri atau suka-suka sahaja," terang beliau.

Kata Dr. Fadzilah lagi, kepincangan ini terpikul di bahu setiap individu Islam itu sendiri, bak kata pepatah Melayu, tepuk dada tanya hati.Di dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita mengerjakan solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.

Ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang menunaikan solat sebenarnya telah menunaikan tanggungjawabnya dan dikasihi oleh Allah dan rasul-Nya kerana mengikut ajaran Islam."Semua pihak kena peka terutamanya ibu bapa kerana tidak menerapkan kewajipan ini menjadi amalan harian di dalam diri anak-anak". "Rasa kasihan untuk mengejutkan anak solat Subuh merupakan salah satu contoh kerugian besar dan cara yang salah dalam mempamerkan kasih sayang kepada anak".

"Sebenarnya di dalam solat manusia diajak untuk mengabdikan diri kepada Allah. Selain itu, solat merupakan benteng diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar". "Orang yang melakukan solat juga mampu menjadi orang yang melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan agama,"kata Fadzilah.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak sebab rapuhnya keimanan seseorang itu; kerana suasana kerja, pengaruh teman-teman, pengaruh luar yang tidak menggalakkan dan sebagainya.Namun, punca sebenar berlakunya demikian ialah kerana tidak ada rasa tanggungjawab atau minat untuk menunaikan sembahyang, kerana tidak memahami rahsia-rahsia keperluan sembahyang.

Dr. Fadzilah mengakui kebenaran bahawa manusia lebih peka menumpukan perolehan yang bersifat material. "Allah s.w.t. menyuruh agar manusia menjadikan dunia ini laluan bagi kehidupan di akhirat, tetapi manusia sering mengeksploitasi hidup di dunia ini, seumpama hidup yang kekal, menyebabkan mereka lupa hidup di akhirat dan membelakangkan perintah-perintah-Nya,"ujarnya.

Friday, July 28, 2006

Hizbullah dan Hamas


Walaupun dari segi aqidah dan juga prinsip mereka berbeza, namun mereka sedang menghadapi situasi dan musuh yang sama

Hizbullah mempunyai hubungan yang amat istimewa dengan HAMAS. Walaupun dari segi aqidah dan juga prinsip mereka berbeza, namun mereka sedang menghadapi situasi dan musuh yang sama. Kedua-dua pertubuhan tersebut mempunyai objektif yang sama, iaitu untuk memerdekakan al-Aqsa dan juga Palestin. Mereka sedang menghadapi musuh yang sama, iaitu penjajah Zionis. Di dalam keadaan seperti ini, kedua-dua kumpulan ini terpaksa melupakan perselisihan aqidah di antara mereka. Berbeza dengan hubungan Syiah-Sunnah di Iraq, hubungan di antara Hizbullah -HAMAS agak berbeza. Mereka bersetuju di antara satu sama lain di dalam banyak perkara, terutamanya yang berkaitan dengan isu penentangan terhadap rejim Zionis. Hubungan ini semakin dikuatkan dengan kunjungan-kunjungan dan juga perbincangan yang berterusan di antara kedua-dua buah pertubuhan pembebasan tersebut.

Di kala HAMAS dan rakyat Palestin dihukum oleh rejim Zionis, AS dan EU, Hizbullah telah bersikap pro-aktif. Usaha jahat rejim Zionis membunuh orang awam Palestin di Gaza, menculik para pemimpin kerajaan HAMAS, menangkap rakyat yang tidak berdosa pasca operasi "al-Wahm al-Mubaddad" tidak langsung mengundang reaksi daripada kebanyakan pemimpin-pemimpin umat Islam. Bukan sekadar tidak membantu, malah mereka juga bagaikan bisu dan tuli dengan tidak membuat apa-apa usaha mengutuk ataupun menggesa rejim Zionis agar menghentikan keganasan tersebut. Di kala rakyat Palestin bagaikan yatim piatu yang terbiar disiksa dan disembelih oleh rejim Zionis, pada waktu itulah Hizbullah terpaksa menunaikan janji persahabatan mereka. Tindakan mereka menyerang tentera Zionis di sempadan Lubnan merupakan usaha suci Hizbullah untuk melarikan tumpuan Zionis daripada terus menerus menyiksa rakyat Palestin. Walaupun Hizbullah tahu harga yang terpaksa dibayar, namun demi mengajar puak Zionis dan menyelamatkan nyawa lebih ramai rakyat Palestin di Gaza, mereka terpaksa melakukannya.

Persoalan yang timbul, kemanakah seterusnya?, apakah kesudahan Hizbullah? Adakah mereka akan dapat bertahan dan menggempur tentera-tentera Zionis dan mengulangi kegemilangan mereka menghalau mereka seperti pada tahun 2000 yang lalu ? Berjayakah mereka menuntut supaya para tahanan mereka di dalam penjara-penjara Zionis sebagai pertukaran dengan dua orang tentera Zionis yang telah ditawan? Apakah mereka akan kalah dan berjaya dihapuskan terus dari bumi Lubnan seperti yang diimpikan oleh rejim Zionis?

Jikalau soalan itu yang sedang kita fikirkan, maka ada soalan yang lebih besar lagi...kemanakah OIC ?, Ke manakah perginya para pemimpin umat Islam ?Ke mana juakah perginya semangat ukhuwwah di kalangan umat Islam ?Apakah pemimpin-pemimpin umat Islam dan kerajaan mereka semuanya buta,tuli,pekak,pondan,pengecut dan bengap?...hanya diktator-diktator yang korup di coffee house yang bernama OIC sahaja yang mampu menjawabnya!"

Thursday, July 27, 2006

Hizbullah dan sejarahnya...


Pejuang Hizbullah sedang bersiap sedia menggempur rejim Zionis

Projek jihad Syiah ini semakin berkembang. Pelbagai arus dan individu yang berpengaruh telah menyertainya, namun setiap kumpulan dan setiap individu mempunyai agenda yang tersendiri. Iran telah mengambil peluang untuk menyatukan mereka di bawah dua doktrin utama, "Bersatu di bawah Wilayah al-Faqih (Khomeini)" dan "Bersatu menentang Zionis". Khomeini yang telah diziarahi oleh para pemimpin kumpulan-kumpulan Syiah Lubnan tersebut telah merestui penyatuan mereka dan menyeru mereka agar meneruskan perjuangan. Di bawah dua slogan dan doktrin tersebut, akhirnya pada tahun 1983, penyatuan kumpulan-kumpulan Syiah tersebut telah menubuhkan Majlis Syura Lubnan. Mereka dipimpin oleh kepimpinan kolektif yang dianggotai oleh para ulama, iaitu Said Abbas Musawi, Syeikh Subhi Tafeili, Syeikh Hassan Korani, Said Hassan Nasrallah, Syeikh Muhammad Yezbek, Syeikh Afif al-Nablusi, Said Ibrahim Amin dan beberapa anggota profesional seperti Hussain Musawi, Muhammad Fineish dan Muhammad Ra'ad.

Penyatuan ini telah berjaya menarik minat Syiah di selatan Lubnan untuk menyertai mereka. Kebanyakan Syiah di Selatan Lubnan, samada bersama AMAL ataupun merupakan mantan komando PLO. Mereka telah menjadi komando PLO sewaktu zaman kegemilangan PLO di zaman 70'an menentang Zionis. Di bawah restu Khomeini dan juga Iran, para komando-komando tersebut akhirnya menyertai penyatuan Syiah yang baru ini. Mereka akhirnya telah dilantik menjadi para komando Majlis Syura Lubnan dan berjuang untuk tujuan revolusi Syiah. Usai penubuhan Majlis Syura Lubnan, pertempuran dengan tentera penjajah Zionis menjadi semakin intensif. Majlis Syura Lubnan akhirnya telah menggunakan syiar "Kami adalah Hizbullah (kumpulan Allah)" bersumberkan Surah al-Maidah (5): ayat 55-56. Syiar atau moto ini akhirnya ditukarkan menjadi nama rasmi kepada kumpulan Syiah tersebut pada awal tahun 1984 menggantikan nama "Majlis Syura Lubnan".

"Hizbullah - Revolusi Islam Lubnan" telah dipilih oleh Majlis Syura Lubnan menjadi nama baru mereka. Walau bagaimanapun nama ini tidak dihebahkan kepada umum. Nama tersebut hanya popular di kalangan kepimpinan dan pejuang Hizbullah sahaja. Mereka lebih menonjolkan nama "Perjuangan Penentangan Lubnan" sahaja di dalam media dan di khalayak ramai. Mereka juga telah cuba menonjolkan diri mereka sebagai gerakan politik dan cuba menempatkan diri di dalam lanskap politik Lubnan. Antara jasa Hizbullah kepada masyarakat Lubnan adalah keupayaan mereka untuk menghalau tentera rejim Zionis daripada Bairut dan selatan Beirut. Mereka juga telah berjaya membuatkan tentera-tentera Zionis berundur sehingga ke selatan Saida. Di Saida mereka telah membina pejabat rasmi Hizbullah. Di sana jugalah para pemuda Syiah yang lebih radikal telah mengambil keputusan meneruskan jihad melawan tentera Zionis tanpa memperdulikan strategi pertahapan Hizbullah di dalam peperangan. Kumpulan ini kemudiannya diketuai oleh Syeikh Ragheb Harb yang telah berjaya memimpin beberapa operasi melawan tentera Zionis. Di atas usaha para pemuda inilah akhirnya pengaruh Hizbullah telah merebak ke Selatan Lubnan.

Hizbullah dan kemerdekaan Selatan Lubnan 2000

Berdasarkan keputusan perundingan Philip Habib, para pejuang PLO terpaksa meninggalkan Lubnan secara beransur-ansur. Vakum perjuangan ini telah berjaya diisikan oleh Hizbullah. Di waktu kemunculan mereka, para pejuang ideologi lain seperti para pejuang Sosialis dan AMAL di bawah pimpinan Berri sudah lemah dan tidak berpengaruh lagi. Peluang ini telah diambil oleh Iran untuk memperhebatkan bantuan kepada Hizbullah untuk meluaskan pengaruh mereka dan memperhebatkan perjuangan menentang penjajahan rejim Zionis. Selain daripada bantuan latihan ketenteraan, Iran juga telah menyalurkan bantuan kewangan kepada Hizbullah. Sehingga 1987, dianggarkan jumlah bantuan Iran kepada Hizbullah mencapai 10 juta dollar sebulan. Bantuan kewangan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Hizbullah untuk khidmat-khidmat sosial mereka.

Pelbagai sumber dari Iran telah dimanfaatkan oleh Hizbullah untuk melatih dan menerapkan fahaman jihad dan revolusi kepada generasi baru. Pada masa yang sama Hizbullah telah berjaya memenangi hati dan minda pengikut baru dan mengekalkan kesetiaan mereka melalui program bantuan sosial, hospital, klinik, pasaraya, restoran, koperasi, bantuan kewangan serta biasiswa kepada anak-anak mangsa perang. Kebajikan mangsa perang juga sentiasa diambil berat oleh Hizbullah. J.L. esposito di dalam bukunya "The Islamic Threat: Myth or Reality" telah memetik laporan yang mengatakan bahawa Hizbullah telah menyediakan biasiswa kepada lebih kurang 40,000 orang pelajar pada tempoh tersebut. Majoriti daripada pelajar-pelajar tersebut kini telah menjadi aktivis mereka dan juga para mujahidin.

Oleh kerana kerajaan Lubnan tidak mempunyai kekuatan ketenteraan yang hebat, maka kekuatan ketenteraan Hizbullah telah menjadi pelengkapnya. Rejim Zionis, walaupun telah berundur daripada Beirut, tetapi tetap menjajah selatan Lubnan. Kawasan yang didominasi oleh puak Syiah itu telah menjadi sebahagian daripada wilayah "Israel". Pada waktu inilah Hizbullah mula menunjukkan kehebatan mereka. Sepanjang tempoh penjajahan, Hizbullah telah melancarkan peperangan gerila terhadap tentera-tentera Zionis yang menduduki wilayah selatan tersebut. Bukan sekadar serangan di dalam Lubnan, Hizbullah juga telah melancarkan serangan ke atas kedutaan-kedutaan rejim Zionis di luar. Akhirnya, disebabkan kekelahan demi kekalahan dan juga kerugian nyawa yang semakin meningkat setiap hari, rejim Zionis terpaksa berundur dari Selatan Lubnan pada Mei tahun 2000. Pengunduran tentera rejim setelah menjajah Selatan Lubnan lebih 22 tahun tersebut telah mengharumkan nama Hizbullah dan telah meningkatkan lagi populariti mereka di mata rakyat Lubnan, terutamanya di kalangan pendudukan kawasan Selatan. Maka, tidak hairanlah sehingga kini, kawasan selatan Lubnan masih lagi menjadi kubu kuat para penyokong Hizbullah.

Hizbullah dan 1559

Kematian Rafiq Hariri, mantan Perdana Menteri Lubnan pada tahun 2005 telah merubah lanskap politik Lubnan. Syria telah dituduh terlibat di dalam komplot pembunuhan tersebut. PBB akhirnya telah mengeluarkan ketetapan 1559 yang menggesa Syria mengeluarkan tentera mereka yang berada di seluruh Lubnan demi mengawal Lubnan dari serangan Zionis. Ketetapan itu juga memaksa Hizbullah agar melucutkan senjata mereka demi keamanan di Lubnan. Syria terpaksa akur dengan tuntutan tersebut walaupun mereka tahu ianya akan membahayakan rakyat Lubnan sendiri. Malangnya agenda yang dipaksakan ke atas mereka ini telah berjaya mendapat sokongan rakyat Lubnan yang pro-AS sendiri. Oleh kerana kerajaan Lubnan tidak mempunyai kekuatan ketenteraan yang hebat, maka kekuatan ketenteraan Hizbullah telah menjadi pelengkapnya.

Hizbullah pula, semenjak awal lagi telah menentang ketetapan tersebut. Mereka tahu bahaya yang bakal diundang jika mereka melucutkan senjata. Tindakan tersebut hanya akan menjadikan Lubnan berada di dalam keadaan yang sangat lemah dan amat terdedah kepada serangan Zionis. Inilah yang telah berlaku pada hari ini! Kini, rejim Zionis menggunakan sepenuh kuasa lobinya dan juga media untuk memaksa UN membuatkan Hizbullah mematuhi ketetapan 1559.

p/s: Diambil dari Webkl.net

Wednesday, July 26, 2006

Hizbullah? Siapakah mereka?


Jika umat Islam sedunia hanya mampu bersedih semenjak rakyat Palestin sekeluarga dibunuh dengan kejam oleh tentera rejim Zionis di Pantai Gaza, kini mereka boleh berasa bersemangat kembali. Serangan-serangan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat pasca kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Majlis Legaslatif yang lalu kini agak terubat. Pertamanya, operasi "al-Wahm al-Mubaddad" (prasangka yang dihapuskan) yang dilancarkan bersama oleh Briged al-Qassam (HAMAS), Alwiyat al-Nasir (Mantan Fatah) dan al-Jaysh al-Islami ke atas pos tentera Zionis di Kufr Abu Salim di dalam Palestin 1948. Operasi yang telah menyaksikan bagaimana pos kawalan tentera itu telah berjaya ditembusi dari bawah tanah dan menyebabkan tiga orang tentera mereka terkorban, tawanan seorang tentera mereka , kecedaraan ramai yang lain serta kemusnahan dua kereta kebal tercanggih rejim Zionis. Operasi tersebut benar-benar telah mengejutkan rejim Zionis yang selama ini menyangkakan bahawa rakyat Palestin lemah dan tidak berupaya menyerang balas.

Malangnya dengan alasan untuk membebaskan tenteranya yang ditawan itu, rejim Zionis telah mengorbankan (sehingga 18 Julai 2006) lebih 85 nyawa warga awam Palestin, mencederakan ratusan yang lain, merobohkan puluhan rumah dengan bedilan roket dan kereta kebal, menyerang universiti Islam Gaza, membedil pejabat-pejabat kerajaan, menculik 24 ahli parlimen HAMAS, menangkap 40 pegawai-pegawai kerajaan dan Dato' Bandar serta memenjarakan lima orang menteri kabinet kerajaan Palestin. Setiap hari semenjak 25 Jun 2006 (hari operasi tersebut dilaksanakan), bandar-bandar di Gaza dan Tebing Barat menjadi mangsa serangan tentera rejim Zionis. Malang sekali lagi, seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyeh, kemanakah dunia?, kemanakah masyarakat antarabangsa?, mengapakah sepi dan sunyi tanpa mengutuk kekejaman rejim Zionis tersebut.

Akhirnya kesunyian masyarakat antarabangsa ini telah dipecahkan oleh tindakan berani Hizbullah yang berpusat di selatan Lubnan. Kejayaan mereka menyerang konvoi tentera Zionis serta membunuh lapan orang tentera dan menawan dua yang lain adalah tindakan yang paling nekad dilakukan oleh Hizbullah. Sekali lagi rejim Zionis ditekan apabila Hizbullah memberikan syarat pemulangan dua tentera tersebut dengan pertukaran tahanan warga Lubnan, Syria dan Arab yang lain di penjara Zionis. Tindakan mereka juga seolah-olah menunjukkan kepada para pemimpin Arab yang bacul bagaimanakah caranya untuk mengajar rejim Zionis. Persoalan yang berlegar di dalam masyarakat masa kini adalah, "Siapakah Hizbullah?"

p/s: Nantikan jawapan bagi persoalan ini...tunggu!~

Sunday, July 09, 2006

An Afternoon with the hijabbed



I love this video. It doesn't come across to us like we are forced to put it on but rather to have us choose which path we would like to lead. There is a great message in this video for our Muslim women. After watching it, made me ponder over my life and faith to my Creator..A great job by MMU students.Applause!!!

Saturday, July 01, 2006

Angkara AS..negara muslim diserang

Susunan: SITI AINIZA KAMSARI

DAHI kita pasti berkerut apabila ada fakta yang menyebut bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) hanya membelanjakan RM2.16 juta (AS$600,000) untuk menyiasat punca bangunan World Trade Center (WTC) runtuh dalam tragedi 11 September 2001. Mereka boleh pula berbelanja sebanyak hampir RM144 juta (AS$40 juta) bagi menyiasat skandal seks bekas Presiden Bill Clinton dengan pembantu Rumah Putih, Monica Lewinsky yang kos akhirnya mencecah RM234 juta.

Tragedi 11 September 2001 itu dijadikan alasan kuat oleh AS untuk mengebom Afghanistan dalam usaha mereka memburu Osama bin Laden dan kumpulan al-Qaeda yang dituduh mendalangi tragedi 9/11. Namun, tentunya yang lebih ramai terbunuh hanyalah penduduk awam yang tidak berdosa terutama wanita, orang tua dan kanak-kanak apabila perkampungan-perkampungan mereka dibedil dan diserang tanpa sebarang ampun!Perlu disebut juga ia bagaikan satu usaha untuk melenyapkan Islam kerana kebanyakan mangsa adalah umat agama tersebut yang turut dimomokkan sebagai pengganas! Mungkin kita tidak ragu-ragu untuk mengatakan AS sanggup 'mencipta' satu tragedi bagi membolehkan dewan Kongres mereka pada akhirnya terpaksa membenarkan Presiden George W. Bush menyerang pengganas.

Perkara seperti ini sebenarnya bukanlah baru! Ini kerana teknik yang sama pernah dilakukan bagi membolehkan AS mendapat kebenaran untuk menyerang mana-mana pihak. Semasa meletusnya Perang Teluk sehingga Kuwait berjaya diceroboh oleh tentera Iraq yang dipimpin oleh Saddam Hussein pada awal tahun 1990, AS beriya-iya mencari jalan bagaimana mereka dapat membantu Kuwait.Kesempatan ini diambil oleh sebuah firma atau Konsultan Perhubungan Awam, Hill and Knowlton yang kemudiannya dibayar berjuta dolar AS bagi mencipta satu gelombang propaganda yang pada akhirnya memberi ruang kepada AS untuk menyerang Iraq.Walaupun terpaksa membeli waktu-waktu siaran utama namun usaha mereka amat berbaloi. Bukan sahaja mereka kemudiannya dibayar dengan begitu lumayan tetapi yang lebih penting konsultan itu berjaya mengelabui pandangan orang ramai iaitu dengan menerbit dan menyiarkan pelbagai program TV termasuk menjual video-video berita atau video news release (VNR) yang memberikan 1,001 alasan mengapa Iraq mesti diperangi. Perang psikologi benar-benar meletus ketika itu.

Media telah diperalatkan untuk mempengaruhi audiens. Satu kajian Jabatan Komunikasi Universiti of Massachusetts mendapati "lebih banyak penduduk AS menonton televisyen, semakin tertutup minda mereka kepada fakta dan kebenaran yang sepatutnya mereka ketahui. Apabila semakin kurang fakta yang mereka ketahui maka semakin mudah mereka menerima semua dasar-dasar pentadbiran Bush." Hasil propaganda itu, rakyat AS akhirnya percaya bahawa Saddam Hussein sememangnya manusia gila yang dipercayai terlibat secara langsung dalam semua tindakan kejam sekalipun terhadap rakyatnya sendiri. Saddam mempunyai kuasa melakukan lebih banyak kerosakan dan rakyat AS percaya Saddam perlu disingkir.

Tetapi apakah faktor serta-merta yang dijadikan kempen oleh Bush untuk menyerang Iraq atau lebih tepat menyerang umat Islam? Sehari selepas tentera Iraq menceroboh Kuwait, firma Hill and Knowlton ditawarkan satu lagi projek propaganda bernilai RM3.6 juta sebulan bagi membantu Kuwait merampas kembali negara mereka daripada Iraq. Kontrak ini adalah yang terbesar pernah berlaku dalam sejarah perhubungan awam.
Hill and Knowlton kemudian memperalatkan seorang gadis warga Kuwait bagi membohongi dunia, di sebalik perkataan 'hak asasi' yang kononnya cuba mereka perjuangkan.
Seorang wanita, Lauri Fitz Pegado adalah orang yang diberikan tanggungjawab oleh pihak konsultan tersebut untuk 'melatih' gadis itu.

Pada 10 Oktober 1990 di dalam dewan Kongres AS, atas nama Kaukus Hak Asasi Manusia mereka membawa masuk gadis yang dikenali sebagai Nayirah atau Naira berusia 15 tahun yang berjaya menjadikan seluruh dewan itu terpaku sepi.Dewan itu mendengar testimoni yang sungguh emosi yang disampaikan oleh gadis itu mengenai pengalaman ngeri beliau dengan tentera-tentera Saddam Hussein. Seluruh anggota dewan itu hanya mengetahui nama Nayirah kerana nama keluarga gadis itu dirahsiakan kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Sambil menangis, Nayirah menceritakan apa yang berlaku di hadapan matanya ketika tentera Saddam dikatakan menceroboh masuk sebuah hospital di Kuwait iaitu Hospital Al-Addan. Ketika itu, gadis berkenaan mendakwa bertugas sebagai sukarelawan di hospital itu."Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri askar-askar Iraq dengan senjata masing-masing menceroboh masuk ke dalam hospital".
"Mereka kemudian bertindak kejam dengan mengeluarkan semua bayi-bayi yang berada dalam inkubator dan diletakkan di atas lantai yang sejuk dan dibiarkan di situ sehingga mati," katanya sambil menangis teresak-esak.

Ketika Nayirah membuat pengakuan itu, di luar beribu-ribu risalah atau press kit diedar yang mengandungi semua 'pengakuan' gadis itu. Semua perkataan bagai dirancang kerana tidak ada bezanya apa yang diluahkan oleh gadis itu di dalam dewan dengan apa yang tertulis pada risalah.Apabila pungutan suara dan undian dibuat, akhirnya semua anggota kongres dan pihak keselamatan AS setuju membenarkan Presiden George Bush (ayah George W. Bush) menyerang Iraq!

Ini kerana mereka percaya bulat-bulat kepada cerita dan air mata Nayirah. Bush sendiri menjaja cerita gadis itu dalam setiap kempennya bagi mendapat sokongan padu rakyat AS bagi membolehkannya menyerang Saddam!Di sebalik skandal Incubator Lie atau Baby Incubator Fraud ini, fakta menunjukkan Naira atau nama sebenarnya Niyirah Al Sabah ialah anak Duta Kuwait ke AS. Semasa Kuwait ditawan, Nayirah sebenarnya berada di AS kerana tidak ada bukti yang menunjukkan gadis ini bertugas sebagai sukarelawan sebagaimana yang diceritakan.

Ini kerana beberapa kakitangan terutamanya jururawat yang sudah lama bertugas dan tinggal di sekitar hospital itu mendakwa tidak pernah melihat Niyirah. Sebelum itu, selain pengakuan Niyirah, kenyataannya diperkuatkan lagi dengan dakwaan seorang lagi saksi iaitu Dr. Ebrahim.Dr. Ebrahim bukan sahaja menyokong dakwaan Niyirah malah dia sendiri kononnya menguburkan 40 mayat bayi yang menjadi mangsa deraan dan seksaan tentera Saddam itu.Beliau juga memberitahu pihak keselamatan AS bahawa dia seorang pakar bedah. Namun, selepas perang tamat, Dr. Ebrahim kemudian mengaku bahawa beliau sebenarnya doktor gigi dan tidak pernah menanam bayi-bayi tersebut.

Rupa-rupanya teknik pembohongan seperti ini diguna pakai lagi. Tidak salah untuk kita mempercayai tragedi 11 September 2001 juga adalah satu pembohongan besar yang sengaja diadakan bagi menghalalkan tindakan Bush untuk terus menyakiti umat Islam.
Bush tidak rasa bersalah kerana telah diyakinkan tindakannya itu tepat sehingga beliau sanggup mengorbankan nyawa rakyatnya sendiri dalam peristiwa 9/11 itu yang tidak mustahil adalah angkara licik pihak Yahudi!