Projek jihad Syiah ini semakin berkembang. Pelbagai arus dan individu yang berpengaruh telah menyertainya, namun setiap kumpulan dan setiap individu mempunyai agenda yang tersendiri. Iran telah mengambil peluang untuk menyatukan mereka di bawah dua doktrin utama, "Bersatu di bawah Wilayah al-Faqih (Khomeini)" dan "Bersatu menentang Zionis". Khomeini yang telah diziarahi oleh para pemimpin kumpulan-kumpulan Syiah Lubnan tersebut telah merestui penyatuan mereka dan menyeru mereka agar meneruskan perjuangan. Di bawah dua slogan dan doktrin tersebut, akhirnya pada tahun 1983, penyatuan kumpulan-kumpulan Syiah tersebut telah menubuhkan Majlis Syura Lubnan. Mereka dipimpin oleh kepimpinan kolektif yang dianggotai oleh para ulama, iaitu Said Abbas Musawi, Syeikh Subhi Tafeili, Syeikh Hassan Korani, Said Hassan Nasrallah, Syeikh Muhammad Yezbek, Syeikh Afif al-Nablusi, Said Ibrahim Amin dan beberapa anggota profesional seperti Hussain Musawi, Muhammad Fineish dan Muhammad Ra'ad.
Penyatuan ini telah berjaya menarik minat Syiah di selatan Lubnan untuk menyertai mereka. Kebanyakan Syiah di Selatan Lubnan, samada bersama AMAL ataupun merupakan mantan komando PLO. Mereka telah menjadi komando PLO sewaktu zaman kegemilangan PLO di zaman 70'an menentang Zionis. Di bawah restu Khomeini dan juga Iran, para komando-komando tersebut akhirnya menyertai penyatuan Syiah yang baru ini. Mereka akhirnya telah dilantik menjadi para komando Majlis Syura Lubnan dan berjuang untuk tujuan revolusi Syiah. Usai penubuhan Majlis Syura Lubnan, pertempuran dengan tentera penjajah Zionis menjadi semakin intensif. Majlis Syura Lubnan akhirnya telah menggunakan syiar "Kami adalah Hizbullah (kumpulan Allah)" bersumberkan Surah al-Maidah (5): ayat 55-56. Syiar atau moto ini akhirnya ditukarkan menjadi nama rasmi kepada kumpulan Syiah tersebut pada awal tahun 1984 menggantikan nama "Majlis Syura Lubnan".
"Hizbullah - Revolusi Islam Lubnan" telah dipilih oleh Majlis Syura Lubnan menjadi nama baru mereka. Walau bagaimanapun nama ini tidak dihebahkan kepada umum. Nama tersebut hanya popular di kalangan kepimpinan dan pejuang Hizbullah sahaja. Mereka lebih menonjolkan nama "Perjuangan Penentangan Lubnan" sahaja di dalam media dan di khalayak ramai. Mereka juga telah cuba menonjolkan diri mereka sebagai gerakan politik dan cuba menempatkan diri di dalam lanskap politik Lubnan. Antara jasa Hizbullah kepada masyarakat Lubnan adalah keupayaan mereka untuk menghalau tentera rejim Zionis daripada Bairut dan selatan Beirut. Mereka juga telah berjaya membuatkan tentera-tentera Zionis berundur sehingga ke selatan Saida. Di Saida mereka telah membina pejabat rasmi Hizbullah. Di sana jugalah para pemuda Syiah yang lebih radikal telah mengambil keputusan meneruskan jihad melawan tentera Zionis tanpa memperdulikan strategi pertahapan Hizbullah di dalam peperangan. Kumpulan ini kemudiannya diketuai oleh Syeikh Ragheb Harb yang telah berjaya memimpin beberapa operasi melawan tentera Zionis. Di atas usaha para pemuda inilah akhirnya pengaruh Hizbullah telah merebak ke Selatan Lubnan.
Hizbullah dan kemerdekaan Selatan Lubnan 2000
Berdasarkan keputusan perundingan Philip Habib, para pejuang PLO terpaksa meninggalkan Lubnan secara beransur-ansur. Vakum perjuangan ini telah berjaya diisikan oleh Hizbullah. Di waktu kemunculan mereka, para pejuang ideologi lain seperti para pejuang Sosialis dan AMAL di bawah pimpinan Berri sudah lemah dan tidak berpengaruh lagi. Peluang ini telah diambil oleh Iran untuk memperhebatkan bantuan kepada Hizbullah untuk meluaskan pengaruh mereka dan memperhebatkan perjuangan menentang penjajahan rejim Zionis. Selain daripada bantuan latihan ketenteraan, Iran juga telah menyalurkan bantuan kewangan kepada Hizbullah. Sehingga 1987, dianggarkan jumlah bantuan Iran kepada Hizbullah mencapai 10 juta dollar sebulan. Bantuan kewangan ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Hizbullah untuk khidmat-khidmat sosial mereka.
Pelbagai sumber dari Iran telah dimanfaatkan oleh Hizbullah untuk melatih dan menerapkan fahaman jihad dan revolusi kepada generasi baru. Pada masa yang sama Hizbullah telah berjaya memenangi hati dan minda pengikut baru dan mengekalkan kesetiaan mereka melalui program bantuan sosial, hospital, klinik, pasaraya, restoran, koperasi, bantuan kewangan serta biasiswa kepada anak-anak mangsa perang. Kebajikan mangsa perang juga sentiasa diambil berat oleh Hizbullah. J.L. esposito di dalam bukunya "The Islamic Threat: Myth or Reality" telah memetik laporan yang mengatakan bahawa Hizbullah telah menyediakan biasiswa kepada lebih kurang 40,000 orang pelajar pada tempoh tersebut. Majoriti daripada pelajar-pelajar tersebut kini telah menjadi aktivis mereka dan juga para mujahidin.
Oleh kerana kerajaan Lubnan tidak mempunyai kekuatan ketenteraan yang hebat, maka kekuatan ketenteraan Hizbullah telah menjadi pelengkapnya. Rejim Zionis, walaupun telah berundur daripada Beirut, tetapi tetap menjajah selatan Lubnan. Kawasan yang didominasi oleh puak Syiah itu telah menjadi sebahagian daripada wilayah "Israel". Pada waktu inilah Hizbullah mula menunjukkan kehebatan mereka. Sepanjang tempoh penjajahan, Hizbullah telah melancarkan peperangan gerila terhadap tentera-tentera Zionis yang menduduki wilayah selatan tersebut. Bukan sekadar serangan di dalam Lubnan, Hizbullah juga telah melancarkan serangan ke atas kedutaan-kedutaan rejim Zionis di luar. Akhirnya, disebabkan kekelahan demi kekalahan dan juga kerugian nyawa yang semakin meningkat setiap hari, rejim Zionis terpaksa berundur dari Selatan Lubnan pada Mei tahun 2000. Pengunduran tentera rejim setelah menjajah Selatan Lubnan lebih 22 tahun tersebut telah mengharumkan nama Hizbullah dan telah meningkatkan lagi populariti mereka di mata rakyat Lubnan, terutamanya di kalangan pendudukan kawasan Selatan. Maka, tidak hairanlah sehingga kini, kawasan selatan Lubnan masih lagi menjadi kubu kuat para penyokong Hizbullah.
Hizbullah dan 1559
Kematian Rafiq Hariri, mantan Perdana Menteri Lubnan pada tahun 2005 telah merubah lanskap politik Lubnan. Syria telah dituduh terlibat di dalam komplot pembunuhan tersebut. PBB akhirnya telah mengeluarkan ketetapan 1559 yang menggesa Syria mengeluarkan tentera mereka yang berada di seluruh Lubnan demi mengawal Lubnan dari serangan Zionis. Ketetapan itu juga memaksa Hizbullah agar melucutkan senjata mereka demi keamanan di Lubnan. Syria terpaksa akur dengan tuntutan tersebut walaupun mereka tahu ianya akan membahayakan rakyat Lubnan sendiri. Malangnya agenda yang dipaksakan ke atas mereka ini telah berjaya mendapat sokongan rakyat Lubnan yang pro-AS sendiri. Oleh kerana kerajaan Lubnan tidak mempunyai kekuatan ketenteraan yang hebat, maka kekuatan ketenteraan Hizbullah telah menjadi pelengkapnya.
Hizbullah pula, semenjak awal lagi telah menentang ketetapan tersebut. Mereka tahu bahaya yang bakal diundang jika mereka melucutkan senjata. Tindakan tersebut hanya akan menjadikan Lubnan berada di dalam keadaan yang sangat lemah dan amat terdedah kepada serangan Zionis. Inilah yang telah berlaku pada hari ini! Kini, rejim Zionis menggunakan sepenuh kuasa lobinya dan juga media untuk memaksa UN membuatkan Hizbullah mematuhi ketetapan 1559.
p/s: Diambil dari Webkl.net
No comments:
Post a Comment