:: Tazkirah::
Cinta kepada Allah ini adalah perkara yang paling tinggi sekali dan itulah tujuan kita yang terakhir. Kita telah bercakap berkenaan bahaya kerohanian yang akan menghalang cinta kepada Allah dalam hati manusia, dan kita telah bercakap berkenaan berbagai sifat-sifat yang baik sebagai keperluan asas menuju Cinta Allah itu. Kesempurnaan manusia itu terletak dalam Cinta kepada Allah ini. Cinta kepada Allah ini hendaklah menakluki dan menguasai hati manusia itu seluruhnya. Kalau pun tidak dapat seluruhnya, maka sekurang-kurangnya hati itu hendaklah cinta kepada Allah melebihi cinta kepada yang lain. Sebenarnya mengetahui Cinta Ilahi ini bukanlah satu perkara yang senang sehingga ada satu golongan orang bijak pandai ugama yang langsung menafikan cinta kepada Allah atau Cinta Ilahi itu. Mereka tidak percaya manusia boleh Mencintai Allah Subhanahuwa Taala kerana Allah itu bukanlah sejenis dengan manusia. Kata mereka; maksud Cinta Ilahi itu adalah semata-mata tunduk dan patuh kepada Allah sahaja. Sebenarnya mereka yang berpendapat demikian itu adalah orang yang tidak tahu apakah hakikatnya agama itu. Semua orang Islam bersetuju bahawa cinta kepada Allah (cinta Allah) itu adalah satu tugas. Allah ada berfirman berkenaan dengan orang-orang mukmin; "Allah Cinta kepada mereka dan mereka Cinta kepada Allah". Nabi pernah bersabda; "Belum sempurna iman seseorang itu hingga ia Mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain"
No comments:
Post a Comment